10 nama dipilih bagi cabutan utama Shell V-Power

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Sepuluh finalis telah dipilih dalam cabutan awal bagi promosi Win-A-Car sempena pelancaran minyak Shell V-Power anjuran Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), yang disiarkan secara langsung dari Ibu Pejabat BSM, hari ini.

Siaran langsung menerusi Instagram dan Facebook rasmi BSM itu dimulakan dengan Ketua Kecemerlangan Pelanggan, Awang Mohd Adini bin Haji Mohd Daini memperkenalkan kawalan dan mekanisme cabutan termasuk juruaudit bebas yang hadir untuk menyaksikan cabutan berkenaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, cabutan utama akan diadakan pada 25 Julai depan di mana seorang pemenang bertuah akan memandu pulang sebuah kereta mewah, Porsche Macan S.

Sepanjang promosi yang bermula pertengahan Februari hingga penghujung Jun lalu itu, dengan setiap pembelian minyak Shell V-Power, pelanggan menerima satu tiket penyertaan cabutan. Gambar tiket cabutan dan butiran peribadi kemudian perlu dimuat naik ke platform dalam talian sebelum tarikh tutup.

Semasa siaran langsung itu, BSM juga mengambil kesempatan untuk memperkenalkan produk-produk baharunya bagi pasaran Brunei termasuk Shell Helix Power (0W-40) yang sesuai bagi enjin-enjin diesel dan gasolin.

BSM juga mengumumkan kemunculan semula Shell Rimula R6 LM yang laris di samping barisan produk Shell Car Care baharu.

Awang Mohd Adini ketika cabutan awal Shell V-Power bersama juruaudit bebas. – Gambar serahan BSM