BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Seramai 10 orang pelajar dari beberapa buah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, baru-baru ini, telah mengikuti Kursus Penyelidikan Reka Bentuk dan Pembangunan yang diadakan secara intensif oleh pakar penyelidikan reka bentuk dan pembangunan di Politeknik Nilai (PNS) Negeri Sembilan, Malaysia.
Mahasiswa dan mahasiswi peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran tersebut adalah dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), menurut kenyataan yang dikeluarkan.
Pengarah program berkenaan, Dr. Mohd Ridhuan Mohd Jamil dipetik sebagai berkata, objektif utama penganjuran kursus berkenaan adalah untuk menjadikan PNS sebagai penyedia khidmat pakar dalam mengembangkan ilmu penyelidikan bagi para siswazah dari dalam dan luar negara.
Salah seorang peserta kursus, Awang Kharhan Jait menyatakan kegembiraan menyertai kursus berkenaan dan berasa amat berpuas hati dengan layanan dan perkongsian yang diberikan oleh PNS serta berharap program seumpamanya diteruskan oleh PNS.
Tambah beliau lagi, selaku pensyarah dari KUPU SB yang sedang menyambung pengajian dalam bidang doktor falsafah turut menyokong usaha PNS dalam berkongsi ilmu dan menganjurkan kursus penyelidikan yang bersifat Edu-Tourism yang santai dan menyeronokkan.
Pengendalian dan pengisian kursus yang dianjurkan oleh PNS, tambahnya, sangat menepati jangkaan dengan penyampaian para penceramah yang sangat jelas, meyakinkan dan berkaliber. Dalam program itu juga, pihak PNS menyediakan slot kuliah selama 18 jam dan diakhiri dengan membawa para ahli akademik dari Negara Brunei Darussalam melawat ke Jabatan Penerbit di beberapa universiti awam.