MADRID, 13 April – Sepuluh penyokong Leicester City telah ditahan atas kesalahan menggangu ketenteraman awam selepas membaling botol dan memecahkan perabot menjelang suku akhir Liga Juara-Juara kelab itu dengan Atletico Madrid, menurut polis Sepanyol.
Kumpulan pertama yang terdiri daripada lapan orang telah ditahan di salah sebuah tempat tarikan pelancong di Madrid, Plaza Mayor, selepas terjadinya pertelagahan yang menyebabkan tiga anggota polis dan dua penyokong cedera.
Keesokan harinya, penyokong Leicester City sekali lagi memulakan huru-hara dengan ‘membaling botol dan memecahkan perabot’ di tempat yang sama sekitar 6 petang waktu setempat, sebelum perlawanan bermula, jelas seorang jurucakap polis.
“Polis membuat serbuan beberapa kali,” katanya, dengan menambah dua lagi penyokong telah ditahan dan yang lain telah diiringi ke stadium untuk sepak mula.
Para penyokong Leicester City telah berkumpul di beberapa buah restoran dan bar di Plaza Mayor, tempat yang kerap disinggahi oleh penyokong pasukan pelawat bagi perlawanan Liga Juara-Juara. – AFP