10 peserta mara ke peringkat akhir musabaqah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Setelah tiga hari pemilihan dalam peringkat separuh akhir, lima orang qari dan lima orang qariah terpilih untuk bertanding di Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 2022.

Peserta lelaki yang terpilih ialah Awang Mohammad bin Ali, Haji Awang Muhammad Fikri bin Haji Awang Metussin, Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya, Haji Hazwan bin Haji Salim dan Awang Ahmad Syuja’iee bin Begawan Mudim Haji Metassim.

Peserta perempuan pula ialah Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri, Hajah Nurul Akmalina binti Haji Yahya, Hajah Nurhapidzah binti Haji Hassan, Dayang Siti Zahrina binti Haji Abdul Wahab dan Dr Hajah Siti Wardah binti Mejar (B) Haji Abdul Rahman.

Mereka akan bertanding bersama johan-johan menunggu Musabaqah Membaca Al-
Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 2021 iaitu Awang Mohammad Zul Hafiz bin Haji Awang Tengah dan Hajah Norfaezah binti Haji Emran.

Para finalis berkenaan telah diumumkan oleh pengerusi jemaah hakim, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit pada Majlis Pengumuman Keputusan dan Penyampaian Cenderamata Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan 2022 yang berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pagi tadi.

Haji Mohammad Rosli menyempurnakan penyampaian cenderahati pada majlis berkenaan.
Antara yang hadir pada majlis berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Te-tap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim bagi mewakili Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Terdahulu, Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, KHEU, Hajah Siti Mahyana binti Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr Haji Awang Yahya dalam ucapannya selaku pengerusi bersama musabaqah berkata, atas usaha dan kerjasama padu daripada jawatankuasa penyelenggara teknikal, musabaqah berkenaan telah lancar dilaksanakan dengan norma-norma baharu mengikut garis panduan terkini yang diwartakan oleh pihak kerajaan.

Musabaqah pada tahun ini dilaksanakan secara tertutup tanpa dihadiri oleh jemputan. Namun begitu, orang ramai juga berpeluang menyaksikan bacaan para peserta melalui media sosial KHEU dan Rangkaian Nur Islam, Radio Televisyen Brunei.

Untuk meningkatkan perkembangan kualiti peserta, pada tahun ini jawatankuasa telah bersetuju untuk menyerapkan mana-mana peserta yang berjaya mengekalkan perolehan markah 80 peratus ke atas selama tiga tahun berturut-turut ke peringkat separuh akhir pada tahun berikutnya tanpa perlu menjalani saringan di peringkat masjid.

Ini adalah salah satu motivasi kepada peserta supaya sentiasa berusaha gigih dan terus mengekalkan kualiti dan meningkatkan mutu bacaan masing-masing.