10 premis gagal patuhi arahan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Sebanyak 10 buah premis perniagaan didapati tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan dan dikenakan denda kompaun yang keseluruhannya berjumlah $1,150 semasa beberapa siri Operasi Merati yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dari 19 hingga 25 Oktober di premis-premis perniagaan di keempat-empat daerah.

Semasa operasi itu juga, tiga buah kenderaan luar negara didapati tidak mempunyai Pelekat Pas Kenderaan Daftar Luar Negara, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, hari ini. Kenyataan menyatakan bahawa kesalahan-kesalahan yang dikenakan kompaun semasa operasi itu termasuk pengendali dan penyedia makanan serta pekerja-pekerja tukang gunting rambut dan pusat kecantikan dan kesihatan tidak memakai penutup hidung dan mulut serta tiada pemeriksaan suhu badan.

Semasa operasi itu, sebanyak 124 buah premis perniagaan telah diperiksa dengan operasi berkenaan dikendalikan di kawasan-kawasan premis perniagaan di The Mall, Gadong, Kiulap, Beribi, Menglait, Serusop, Salambigar, Masjid Perpindahan Lambak Kanan di Daerah Brunei dan Muara; Kampung Sungai Tali, Kampung Sungai Taring dan Pasar Lama Pekan Belait di Daerah Belait; Kampung Serambangun, Kampung Sengkarai dan Kampung Tanjung Panjang, di Daerah Tutong serta Pekan Bangar dan Masjid Kampung Puni di Daerah Temburong. Kenyataan menyatakan bahawa Operasi Merati bersepadu di Daerah Brunei dan Muara dijalankan bersama pegawai-pegawai dari Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) serta Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Manakala itu, Operasi Merati bersepadu di Daerah Belait dijalankan bersama Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, KHEDN. Operasi di Daerah Tutong dan Daerah Temburong pula dijalankan oleh Kementerian Kesihatan yang melibatkan pegawai-pegawai penguatkuasaan kesihatan dari Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya sekali lagi menekankan dan mengingatkan orang ramai terutama bagi para pengurus dan kakitangan premis-premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan lainnya khususnya untuk memastikan pengendali, penyedia makanan dan kakitangan mereka memakai penutup mulut dan hidung.

Mereka juga perlu melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di premis perniagaan masing-masing.

Manakala itu, bagi kenderaan-kenderaan luar negara yang memasuki Negara Brunei Darussalam hendaklah menggunakan Pelekat Pas Kenderaan Daftar Luar Negara yang telah berkuat kuasa pada 1 Oktober 2020. Permohonan Pelekat Pas Kenderaan Daftar Luar Negara boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih, TransportBN atau melalui laman sesawang Jabatan Pengangkutan Darat, www.jpd.gov.bn.

Kementerian Kesihatan juga mengingatkan orang ramai khususnya para jemaah yang berada di kawasan premis masjid, surau dan balai-balai ibadat untuk memakai penutup mulut dan hidung dan mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Pengurus premis juga dikehendaki untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis-premis mereka dan mencetak kod QR dan diletakkan di kawasan yang mudah diimbas oleh pelanggan. Pengurus premis juga diingatkan untuk menggunakan aplikasi PremiseScan bagi memudahkan pelanggan-pelanggan yang tidak menggunakan aplikasi BruHealth di telefon bimbit mereka.

Selain daripada itu, mereka juga perlu mengamalkan langkah-langkah kebersihan dalam premis perniagaan dan bagi premis makanan diingatkan untuk mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan jika menyediakan makanan secara bufet. Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau mengunjungi laman sosial di Facebook dan Instagram untuk mendapatkan maklumat terkini. Sebarang aduan atau laporan mengenai premis-premis perniagaan yang tidak mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan, orang ramai boleh membuat aduan dengan menghantar e-mel kepada [email protected] atau menghubungi Talian Darussalam 123.