10 suspek didakwa rancang serangan

PARIS, 28 Jun – Menurut sumber kehakiman hari ini, pihak berkuasa Perancis mendakwa 10 suspek dari fahaman politik ekstremis berhaluan kanan terkait dalam perancangan untuk menyerang umat Islam.

Seramai sembilan lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 32 hingga 69 tahun ditahan dalam beberapa serbuan di Perancis pada Sabtu lalu.

Mereka hadir ke mahkamah semalam dan didakwa dengan ‘konspirasi jenayah pengganasan’, menurut sumber itu.

Ada juga yang didakwa atas pelanggaran undang-undang senjata api dan pembuatan atau pemilikan alat peledak.

Polis telah mengaitkan sepuluh anggota dari kumpulan kecil yang dikenali sebagai Action des Forces Operationnelles (Tindakan Angkatan Operasi), yang menggesa rakyat Perancis untuk memerangi orang Islam, atau apa yang disebutnya sebagai ‘musuh dalam selimut’.

Suspek mempunyai ‘rancangan yang tidak jelas untuk melakukan perbuatan keganasan yang menyasarkan umat Islam’, menurut sumber yang dekat dengan siasatan kepada AFP pada Isnin lalu.

Senapang, pistol dan bahan peledak buatan sendiri ditemui semasa serbuan di kawasan Paris, pulau Mediterranean Corsica dan kawasan barat Charentes-Maritimes.

Pendakwa raya berkata dalam satu kenyataan kelmarin bahawa 36 senjata api dan ribuan peluru telah dirampas, termasuk barangan dari salah sebuah rumah suspek yang boleh digunakan bagi pembuatan bahan letupan TATP.

Suspek termasuk pegawai polis bersara, yang hanya dikenal sebagai Guy S., yang merupakan ketua kumpulan terbabit, menurut seorang sumber yang dekat dengan siasatan. Kumpulan itu juga termasuk seorang bekas tentera.

Perancis sentiasa berwaspada berikutan gelombang serangan nekad kumpulan pelampau yang telah membunuh lebih daripada 240 orang sejak 2015.

Walaupun para pegawai telah menggesa orang ramai untuk tidak mengelirukan tindakan individu yang berfahaman radikal dengan enam juta umat Islam di Perancis, kekerasan anti-Islam di negara itu semakin meningkat. – AFP