Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah berjaya menumpaskan satu kegiatan perjudian dengan penahanan 10 orang suspek yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita dalam serbuan di salah sebuah rumah di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba, malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun, melibatkan warga tempatan dan penduduk tetap, dipercayai sedang leka bermain judi Katam-Katam dan daun terup.
Serbuan dijalankan oleh sepasukan keanggotaan daripada Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat bersama Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) hasil daripada intipan dan risikan yang telah dijalankan.
Dalam serbuan itu, pihak polis telah berjaya merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian seperti dadu, wang tunai dan kain untuk permainan Katam-Katam.
Turut ditemui adalah beberapa botol dan tin minuman keras pelbagai jenama.
Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke JSJ bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28. PDB menegaskan kegiatan judi merupakan racun masyarakat yang berleluasa dan berpengaruh secara meluas hingga merosak masa depan keluarga dan tamadun.
