10 tahun tunggu Siti Nurhaliza

Bagaikan bulan jatuh ke riba, demikian perasaan Ippo Hafiz apabila penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sudi menyanyikan lagu ciptaannya.

Sejak memasuki industri pada 2009, penyanyi dan komposer memasang impian menghasilkan lagu buat penyanyi kesayangan ramai itu. Beberapa cubaan menghantar demo sepanjang tempoh berkenaan, Ippo sering menerima jawapan menghampakan pengurus penyanyi itu, Rozi Razak.

Namun, berputus asa bukanlah prinsip Ippo atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Yaziz. Secara kebetulan, produser drama 7 Hari Mencintaiku 2 memintanya menghasilkan lagu runut bunyi untuk drama berkenaan, Ippo tanpa berfikir panjang mencuba nasib sekali lagi bagi mendapatkan Siti.

Cadangannya juga dipersetujui produser drama berkenaan. Sekali lagi, Ippo memberanikan diri menghantar demo, tetapi rezeki anak, dia menerima berita gembira apabila Siti berminat untuk menjalinkan kerjasama.

“Saya tidak sangka Siti akan bersetuju kali ini. Sebenarnya, kami mempunyai beberapa nama lain, tetapi saya dan produser tak fikir panjang lagi apabila Siti bersetuju.

Ippo Hafiz tidak menyangka Siti Nurhaliza sudi menyanyikan lagu ciptaannya. – Agensi

“Lebih bermakna, Siti turut menyerahkan tanggungjawab penerbit lagu kepada saya. Saya terharu apabila menerima berita gembira ini, siapa sangka impian yang terpendam selama lebih 10 tahun akhirnya dimakbulkan.

“Saya tak sabar menghubungi isteri dan ibu kerana mereka tahu sudah lama saya menyimpan hasrat ini,” katanya.

Menganggap rezeki anak, apatah lagi isteri, Norfarahin Mohd Roslan kini berbadan dua, penyanyi jolokan Raja OST itu berkata, dia tidak sabar memasuki studio rakaman. Hajatnya mahu mengembalikan nostalgia lagu Siti pada era 1990an.

“Selain diberi kepercayaan selaku penerbit, lagu ini bakal dijadikan single dan dimuat naik dalam album saya.

“Dengan tercapai hasrat sekian lama terpendam, saya memasang angan menulis lagu buat penyanyi seberang seperti Rossa dan Judika pula,” katanya.

Berkongsi perasaan bakal bergelar bapa, Ippo berkata dia tidak kisah jantina anak yang bakal dilahirkan, asalkan sihat dan selamat.

“Saya perlu bekerja keras untuk anak-anak. Alhamdulillah, saya bergelar bapa pada Ogos depan. Setakat ini, saya dan isteri membuat keputusan tak mahu mengetahui jantina bayi.

“Isteri tak mengalami alahan teruk, cuma sering tukar fikiran mengenai pilihan tempat makan. Mungkin dia mengidam menikmati makan tertentu, jadi saya ikut sahaja.

“Saya mohon peminat doakan proses bersalin isteri saya dipermudahkan,” katanya yang memiliki anak angkat, Cinta Rizky Amanda yang kini berusia empat tahun. – Agensi