Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 terkorban kebakaran hutan di Chile

    SANTIAGO, 27 Jan – Kebakaran hutan di tengah Chile setakat ini, mengorbankan 10 mangsa, manakala ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.

    Angin kencang dan kemarau menyebabkan kebakaran semakin merebak hingga memusnahkan beberapa kampung, selain kawasan seluas 273,000 hektar dalam tempoh seminggu.

    Kes terbaru membabitkan seorang anggota bomba yang maut apabila trak bomba yang dinaikinya dihempap pokok tumbang di wilayah Biobio, iaitu 550 kilometer ke selatan ibu negara, Santiago.

    Sehingga kini, lima anggota bomba, dua anggota polis dan tiga penduduk terbunuh ketika cuba memadamkan kebakaran.

    Penduduk tempatan turut membantu usaha memadamkan api bagi menyelamatkan rumah, haiwan ternakan dan ladang mereka.

    Pandangan bandar Santa Olga yang telah dimusnahkan oleh kebakaran hutan, 330 km ke selatan Santiago, pada 26 Januari 2017. Kebakaran hutan di tengah Chile setakat ini, mengorbankan 10 mangsa, manakala ribuan lagi kehilangan tempat tinggal. - AFP
    Pandangan bandar Santa Olga yang telah dimusnahkan oleh kebakaran hutan, 330 km ke selatan Santiago, pada 26 Januari 2017. Kebakaran hutan di tengah Chile setakat ini, mengorbankan 10 mangsa, manakala ribuan lagi kehilangan tempat tinggal. – AFP

    Pada Selasa lalu, Presiden Michelle Bachelet, mengarahkan dana tambahan untuk menangani kebakaran hutan yang disifatkannya paling teruk pernah berlaku di negara itu.

    “Sekurang-kurangnya 4,000 orang sudah dipindahkan awal minggu ini,” kata Pejabat Kecemasan Kebangsaan.

    Dalam pada itu, lebih 4,000 pekerja kecemasan diarah membantu memadamkan kebakaran, termasuk menggunakan pesawat khas.

    Ramalan cuaca panas dan berangin meningkatkan lagi kebimbangan kebakaran akan terus merebak.

    Kebakaran itu dilaporkan berlaku di kawasan penempatan bandar yang kurang penduduk di wilayah O’Higgins dan El Maule.

    Sementara itu, Menteri Luar, Heraldo Munoz, berkata Amerika Syarikat, Kanada serta beberapa lagi negara sudah menawarkan bantuan untuk memadamkan kebakaran.

    Kebakaran kerap berlaku di Chile dan kebanyakannya disebabkan aktiviti manusia. Namun, tahun ini dianggap paling buruk, selain akibat kemarau, aktivis alam sekitar menyifatkan ia berpunca daripada perubahan iklim. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda