10 terlibat penipuan ditahan

BALIK PULAU, 24 FEB – Polis menahan 10 individu disyaki terlibat dalam penipuan pinjaman tidak wujud, ‘Macau Scam’ dan pembelian secara dalam talian menerusi beberapa serbuan di sekitar negeri ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A. A Anbalagan berkata penahanan seorang wanita berusia 21 tahun di Butterworth, Seberang Perai Utara pada 20 Februari lepas membawa kepada penangkapan sembilan individu lain terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 45 tahun itu.

“Pada 4 Disember lalu, seorang wanita berusia 44 tahun merupakan pengadu telah membuat laporan selepas mengalami kerugian sebanyak RM5,889.69 ekoran diarahkan oleh suspek lelaki untuk membuat pembayaran wang proses pinjaman dan perlindungan insurans.

Bayaran yang dilakukan adalah sebanyak dua kali kepada dua akaun berbeza sehinggalah pengadu merasakan ada sesuatu yang tidak kena lalu membuat laporan polis. Hasil siasatan polis berjaya menahan seorang wanita berusia 21 tahun yang merupakan pemilik akaun Maybank untuk menjalankan kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud,” katanya pada sidang media, di sini hari ini. – Bernama