10 unit MINI Anniversary Edition di Brunei

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – MINI Asia dan QAF Auto selaku pengedar tunggal kenderaan jenama MINI di Brunei Darussalam, hari ini telah mengumumkan pelancaran MINI Anniversary Edition di negara ini.

Daripada 740 unit di seluruh dunia, hanya 10 unit yang tersedia secara eksklusif untuk pasaran Brunei dalam varian Cooper, Cooper S dan John Cooper Works.

Menurut kenyataan MINI Asia yang dikongsikan QAF Auto, nama John Cooper lahir 98 tahun lalu pada hari ini, bukan sahaja mewakili kejayaan besar dalam Formula 1, tetapi juga untuk semangat kesukanan tradisional jenama MINI, yang mana 60 tahun lalu, John Cooper meletakkan asas untuk kemenangan perlumbaan legenda dalam classic MINI.

Ia adalah permulaan kerjasama antara MINI dan keluarga Cooper yang berterusan hingga ke hari ini. Tradisi bersama itu bermula daripada Mini Cooper pertama, yang dilancarkan pada September 1961 kepada model John Cooper Works yang sporty dalam barisan model pada masa ini.

Bagi menandakan ulang tahun itu, jenama premium British itu menampilkan edisi khas MINI tiga pintu yang menggabungkan kembali sejarah dengan teknologi terkini.

Sepuluh daripada 740 unit MINI Anniversary Edition di seluruh dunia telah dilancarkan di pasaran Brunei, kelmarin.

Kenyataan menyatakan, edisi ulang tahun itu adalah satu penghormatan kepada John Cooper, yang meninggal dunia pada 2000 dan bukti betapa keseronokan pemanduan maksimum dalam segmen kereta kecil premium dinikmati atas namanya pada masa ini.

Reka bentuk dan ciri-ciri peralatan yang eksklusif menjadikan edisi berkenaan sebagai tawaran menarik untuk peminat MINI di seluruh dunia yang meminati sejarah kesukanan jenama berkenaan, berkait rapat dengan nama John Cooper.

Pengeluaran dihadkan secara global kepada hanya 740 unit adalah sebagai penghormatan kepada nombor permulaan 74, yang dipakai Mini Cooper klasik pada penampilan pertama litar perlumbaan yang berjaya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi dan melihat lebih dekat MINI Anniversary Edition, orang ramai boleh berkunjung ke Bilik Pameran QAF Auto di Beribi.

Dalam pada itu, pelanggan yang membeli mana-mana kenderaan MINI Anniversary Edition akan layak untuk memenangi hadiah cabutan bertuah berupa Apple iPhone 13, Apple iPad, Apple iPod, dan Apple Watch.

Bagi cabutan utama nanti, pelanggan akan berpeluang untuk memenangi Apple Macbook Pro.