10 Usahawan tamat pengajian diraikan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah meraikan 10 usahawan wanita yang berjaya menamatkan pengajian program BIBD SEED (Special Underprivileged Mothers Empowerment Entrepreneurship) pada majlis yang berlangsung di Pusat Excellence & Empowerment, Tingkat 2, Bangunan PGGMB di ibu negara, hari ini.

Para usahawan tersebut telah menamatkan latihan mereka sebagai sebahagian daripada kumpulan ketiga program BIBD SEED yang bermula pada Ogos 2020.

Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Program BIBD SEED bertujuan untuk memperkasa golongan ibu-ibu dan wanita yang kurang berkemampuan dengan membantu mereka mengetengahkan minat dan mengasah kemahiran mereka, dan seterusnya meraih peluang untuk memperluaskan pendapatan dari bidang perniagaan yang mereka ceburi.“

Program BIBD SEED, menurut beliau, sangat bermakna dan menandakan komitmen BIBD terhadap pembangunan negara sejajar dengan wawasan 2035, yang mencerminkan BIBD bukan hanya sebagai institusi kewangan, tetapi juga sebagai rakan kemajuan yang sentiasa komited untuk menyumbang kepada kejayaan Negara Brunei Darussalam.

“Usaha ini juga sejajar dengan bidang-bidang tanggungjawab sosial korporat BIBD yang diutamakan iaitu keusahawanan, pendidikan dan komuniti, dan merupakan salah satu cara BIBD untuk menyumbang kepada masyarakat,” jelas Hajah Nurul Akmar.

Hajah Noraini dan kakitangan BIBD serta para graduan program ketika sesi bergambar ramai.
Hajah Noraini menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan yang berjaya menamatkan pengajian program BIBD SEED semasa majlis tersebut.
Hajah Noraini ketika meninjau petak jualan peserta BIBD SEEDS.

Menurut beliau, graduan berkenaan juga akan menjadi pelanggan BIBD SME360 dengan bimbingan pengurus perhubungan masing-masing serta akan mendapat akses kepada perkhidmatan-perkhidmatan SME360 untuk membantu mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Hajah Nurul Akmar berharap majlis tersebut akan menjadi titik permulaan bagi graduan-graduan BIBD SEED dalam perjalanan keusahawanan mereka dan membina kehidupan yang lebih terarah sebagai pengusaha.

Pada hujung ucapannya, Hajah Nurul Akmar turut mengongsikan bahawa sejumlah $27,000 dianugerahkan kepada 10 graduan berkenaan.

Hadir bagi menyampaikan sijil kepada para graduan ialah Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman.

Kohort tahun ini merangkumi empat usahawan dari industri kreatif, iaitu reka bentuk fesyen dan seni solek, kali pertama industri kreatif dimasukkan sebagai sebahagian daripada program tersebut, dengan baki enam usahawan lain mengikuti hasrat mereka dalam industri makanan dan minuman (F&B).

Setiap peserta tersebut telah berjaya menyelesaikan empat fasa program BIBD SEED. BIBD mengadakan pelbagai bengkel latihan yang fokus pada kemahiran keusahawanan, kemahiran praktikal dan juga bengkel perkembangan produk.

Peserta juga mengambil bahagian dalam pameran dan gerai untuk mendapatkan pengalaman praktikal dalam berinteraksi dengan pelanggan dan membina pangkalan pelanggan.