100 artifak arkeologi Iraq dirampas

OSLO, 3 SEPT – Polis Norway berkata hari ini mereka telah merampas hampir 100 artifak arkeologi Mesopotamia, dituntut oleh Iraq, daripada seorang pengumpul.

“Rampasan membabitkan apa yang diandaikan tablet tulisan pepaku dan objek arkeologi lain dari Mesopotamia, era moden Iraq yang dianggap penting kepada warisan kebudayaan sejarah dunia,” kata polis dalam satu kenyataan.

Objek berkenaan dirampas semasa penggeledahan ke atas sebuah rumah pengumpul di tenggara Norway.

Artifak merupakan subjek permintaan pemulangan dari pihak berkuasa Iraq kepada Kementerian Kebudayaan Norway.

“Satu prosedur restitusi telah dilancarkan, namun kajian pakar mesti dilakukan terlebih dahulu untuk menentukan asal-usul dan kesahihan objek berkenaan dan pihak berkuasa Iraq mesti mendokumenkan permintaan mereka,” beritahu pendakwa Maria Bache Dahl kepada AFP.

Pengumpul terbabit mencabar permintaan Iraq, katanya, menambah dia bukan suspek jenayah dan belum ditahan.

Iraq merupakan lokasi utama untuk aktiviti penyeludupan artifak lama.

Menurut pegawai Iraq, penyeludupan menjadi sumber pendapatan rangkaian penjenayah di negara di mana kumpulan bersenjata telah menjadi semakin berpengaruh. – AFP

Gambar serahan kakitangan penguatkuasa undang-undang dari Pihak Berkuasa Siasatan dan Pendakwaan Ekonomi dan Jenayah Alam Sekitar Norway menunjukkan artifak arkeologi yang dirampas. – AFP