100 Bungkusan aidilfitri diagihkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Untuk memeriahkan suasana Hari Raya bersama pesakit-pesakit serta keluarga, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini, telah mengadakan Majlis Penyampaian Cenderahati Raya bagi pesakit-pesakit Wad 19, Wad 21, Wad 27 dan Unit Pediatrik Akut.

Majlis diselajurkan dengan majlis ramah mesra bersama pegawai dan kakitangan Hospital RIPAS, yang berlangsung di Tingkat 4, Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital RIPAS.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar serta isteri, Datin Dr Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee.

Sebanyak 100 bungkusan Aidilfitri disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan rombongan kepada pesakit di wad-wad berkenaan.

Majlis antara lain bertujuan untuk memberikan pemedulian dan perhatian berterusan terhadap mereka yang sedang menerima rawatan di hospital dan tidak berkesempatan untuk meraikan Sambutan Hari Raya di rumah sendiri.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika sesi bergambar ramai bersama warga Hospital RIPAS.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika menyampaikan bungkusan Aidilfitri kepada salah seorang pesakit.
Datin Dr Hajah Noraslinah ketika menyampaikan bungkusan Aidilfitri kepada salah seorang pesakit.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan penyampaian cenderahati Aidilfitri dan sampul hijau.

Sejurus penyampaian cenderahati kepada pesakit di wad-wad, majlis diteruskan dengan Majlis Ramah Mesra sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Yang Berhormat Menteri Kesihatan serta datin, jemputan khas serta semua pegawai dan kakitangan Hospital RIPAS.

Majlis tersebut juga dihasratkan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan para pegawai dan kakitangan hospital.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman; Pemangku

Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Haji Maswadi bin Haji Mohsin, para pengarah, berserta pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan dan Hospital RIPAS.