100 hadiri DevFest 2020

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Kira-kira 100 orang peserta menghadiri DevFest 2020 yang berlangsung di Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) dan lebih 100 orang peserta lagi menghadiri acara berkenaan secara dalam talian menerusi platform komuniti GDG, hari ini.

DevFest 2020 dianjurkan oleh Google Developer Group (GDG) Brunei dan Women Techmakers (WTM) Brunei dengan sokongan LCB, Cuckoo Focus Empowering Generation (FEG) dan Majlis Belia Brunei di mana bagi tahun ini, ia diadakan secara hibrid dengan peserta boleh membuat pilihan untuk menghadirinya di LCB atau menyaksikan ceramah secara dalam talian.

DevFest 2020 yang bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran komuniti dalam Revolusi Industri (IR) 4.0, merupakan acara pesta pemaju tahunan di mana penggemar teknologi berkumpul untuk mempelajari dan berkongsi ilmu pengetahuan mengenai pelbagai jenis teknologi.

Dalam acara itu, para pengunjung dan mereka yang menyertai secara dalam talian berpeluang untuk menyertai sesi ceramah teknikal, bengkel yang dikendalikan oleh penceramah tempatan dan antarabangsa serta menghadiri sesi panel perbincangan yang menumpukan keberadaan Brunei pada masa ini dari segi IR 4.0 dan juga pameran projek oleh komuniti pemaju berbakat di Brunei.

Sesi ceramah dan bengkel itu meliputi lima kategori iaitu Cloud, Mobile, Web, Machine Learning dan New to Coding, di mana seramai 21 orang penceramah dari seluruh dunia termasuk Brunei menyampaikan ceramah.

Di samping itu, para pengunjung juga berpeluang untuk menyaksikan pameran projek yang disertai oleh seramai 16 orang peserta yang mengetengahkan hasil projek masing-masing termasuk permainan yang menarik yang dibangunkan oleh pemaju permainan tempatan.

Pada pameran itu, peserta pameran juga mengetengahkan projek IoT seperti Sistem Penggera Sekuriti Rumah dan Kamera Sekuriti Pengesan Pergerakan dan Suis Lampu, MainWear- sebuah bilik persalinan maya, aplikasi mengembara, BruHike serta aplikasi realiti maya (VR) IT Hazards yang mengenal pasti risiko dan ancaman dalam teknologi maklumat.

Acara penutup bagi DevFest 2020 dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi dan Timbalan Pengetua LCB, Sivarajah Subramaniam.

Permainan video yang dibangunkan oleh pemaju tempatan yang berbakat turut dipamerkan semasa acara berkenaan.