100 kontena laksa disumbang untuk sukarelawan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 15 APRIL – Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menyokong sukarelawan barisan depan dalam menangani COVID-19, Pengusaha Laksa Online telah menyerahkan sebanyak 100 kontena laksa kepada sukarelawan yang ditempatkan di Bangunan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Jalan Anggerek Desa yang dijadikan pusat pengasingan, hari ini.

Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh pemilik Pengusaha Laksa Online,
Dayang Rasni binti Haji Hassan dan diterima oleh Pegawai PKBN, Mejar (B) Haji Sopian bin Mohammad Yasin.

Hidangan laksa untuk sarapan pagi berkenaan adalah sumbangan daripada orang ramai dan Syarikat Waspada Security Services menerusi inisiatif yang dijalankan oleh Dayang Rasni yang mempelawa orang ramai untuk membeli sambil beramal.

Inisiatif berkenaan akan diteruskan lagi di Pusat Pengasingan Kebangsaan Daerah Tutong pada 18 April ini.

Haji Sopian ketika menerima sumbangan daripada Dayang Rasni. – Gambar serahan Pengusaha Laksa Online