Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Universiti Teknologi Brunei (UTB) buat pertama kalinya telah menghoskan Youth Business Talk (YBT) 2018 yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di universiti berkenaan.
Majlis penutup program berkenaan telah diadakan petang hari ini dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Naib Canselor UTB, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh.
Lebih kurang 100 orang mahasiswa UTB telah menyertai Program YBT2018@UTB itu yang dianjurkan bersama oleh Unit Keusahawanan Belia, Pusat Belia Bandar Seri Begawan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan UTB.
Program menumpukan kepada pembinaan jati diri, kepimpinan, pemasaran dan penjenamaan dalam bidang keusahawanan yang merupakan suatu perkara penting untuk disemai untuk menjadi seorang usahawan yang sukses dan berjaya.

Sebelum majlis penutup, program telah diisikan dengan sesi plenari di mana para peserta berpeluang mendengarkan perbincangan yang membahaskan mengenai cabaran yang dihadapi oleh para belia dalam bidang keusahawanan dan kehidupan.
Antara ahli panel pada sesi tersebut ialah Pengarah DH-AW Sdn Bhd, Dato Paduka Haji Hamdillah bin Haji Abdul Wahab; Ketua Pegawai Pemasaran Progresif Cellular Sdn Bhd, Devin Edwards; Ketua Pegawai Eksekutif Geotraxx, Awang Mohd Reduan Yusof; Awang Mohd Amirul Hakeem bin Awang Rahimeey dari Mixbro Company dan Ketua Unit Program Keusahawanan Belia, Pusat Belia Bandar Seri Begawan (BSB), Pengiran Kamal Ghadafi bin Pengiran Haji Suhaimi selaku pengerusi.
Para peserta turut berpeluang mendengarkan pengalaman-pengalaman yang dikongsikan oleh ahli-ahli panel selama mereka berkecimpung dalam bidang keusahawanan yang bertujuan untuk memupuk serta memberi semangat kepada para peserta untuk lebih gigih dalam bidang keusahawanan.