SRINAGAR, India, 17 April – Ratusan pelajar bertempur dengan pasukan kerajaan di Kashmir India semasa bantahan hari ini terhadap serbuan polis ke atas sebuah kolej, ketika ketegangan semakin memuncak di rantau bergolak itu.
Sekitar 100 pelajar mengalami kecederaan ketika polis menggunakan belantan dan gas pemedih mata untuk cuba menyuraikan bantahan itu, yang meletus di bandar utama Srinagar sebelum merebak ke bahagian lain lembah Kashmir.
Remaja-remaja dalam pakaian seragam dan pelajar wanita memakai skarf putih antara kalangan pembantah, yang melaungkan slogan anti-India dan melontarkan batu ke arah pasukan kerajaan.
Kesatuan pelajar telah menyeru bagi bantahan itu selepas polis pada Sabtu cuba untuk menyerbu sebuah kolej di selatan daerah Pulwama untuk memberkas suspek dalam tunjuk perasaan ganas baru-baru ini yang mencetuskan pertempuran sehingga mengakibatkan 60 pelajar cedera.

“Para pelajar mengadakan bantahan di beberapa buah kolej. Kami sedang mengendalikan situasi berkenaan,” kata pegawai polis kanan memberitahu AFP.
Kashmir yang ditadbir India menjadi tegang sejak 9 April, apabila lapan orang terkorban oleh pasukan polis dan separa tentera semasa pertempuran hari pilihan raya.
Empat orang terbunuh sejak hujung minggu, termasuk seorang penjual jalanan yang ditembak mati oleh Pasukan Keselamatan Sempadan India. – AFP