100 pelajar terima sijil pemprograman robot

Gambar serahan Sekolah YSHHB

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Seramai 100 pelajar Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) telah menerima sijil masing-masing setelah menamatkan cabaran pemprograman robot yang dianjurkan bersama Roboticist Malaysia, baru-baru ini.

Turut menyertai Kem Virtual Pemprograman Robot yang pertama di Brunei itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-ul Bolqiah dan Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah.

Hadir menyampaikan sijil kepada para pelajar berkenaan ialah Pengetua Sekolah Rendah YSHHB, Hajah Mariam binti Ladi.

Menurut kenyataan yang diterima, hari ini, kem dalam talian yang diadakan selama lima hari bermula 16 November lalu itu bertujuan untuk mendedahkan kepentingan perkongsian pengetahuan dan merangsang kemahiran para pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan belia di rantau ini.

Ia juga bertujuan untuk mendukung misi sekolah dalam melengkapkan para pelajar dengan pendidikan abad ke-21 yang disokong dengan strategi pembelajaran dan pengajaran, sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

YAM Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-ul Bolqiah ketika menerima sijil daripada Pengetua Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Hajah Mariam binti Ladi setelah menamatkan Kem Virtual Pemprograman Robot yang dianjurkan bersama Roboticist Malaysia, baru-baru ini.
YAM Pengiran Anak Raihaanah Hanaa-ul Bolqiah bergambar ramai bersama penerima sijil lain selepas program tersebut.
Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah bersama rakan sekelasnya semasa aktiviti yang diadakan.

Semasa kem tersebut, para pelajar telah diperkenalkan dengan robotik dan pemprograman robot di samping belajar untuk menerapkan pengetahuan STEM dalam siri cabaran yang diberikan kepada mereka.

Para pelajar juga diajar untuk memprogramkan robot maya menggunakan persekitaran pengekodan berasaskan blok bagi memberi mereka kefahaman akan kaitan antara robot dan sains komputer.

Kemahiran dalam pemprograman robot adalah penting untuk menjadikan sains komputer menjadi nyata dengan aplikasi dunia sebenar.

Program robotik itu turut menyumbang kepada perkembangan kemahiran pelajar untuk melengkapkan mereka bagi keperluan industri memandangkan kelayakan akademik belum mencukupi untuk meletakkan graduan dalam tenaga kerja kerana banyak industri berteknologi tinggi memerlukan graduan menjadi lebih versatil, kompeten dan rajin.

Mempunyai kemahiran baharu seperti pemprograman amat diperlukan pada abad ke-21 ini dan pendidikan robotik telah dibuktikan dapat meningkatkan penyertaan orang muda dalam bidang STEM.