100 pesakit dipindah hospital terbakar

NAIROBI, 13 NOV – Satu kebakaran besar di hospital tertua di bandar pelabuhan Mombasa, Kenya memaksa pemindahan kira-kira 100 pesakit lewat semalam, kata polis dan Palang Merah Kenya.

Komander polis wilayah pantai, Rashid Yakub, berkata kebakaran dipercayai bermula akibat letupan tong gas.

“Kita bernasib baik kerana tiada kematian dilaporkan kerana kesemua pesakit dan kakitangan berjaya dipindahkan dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Palang Merah Kenya dalam satu kenyataan berkata, lebih 100 pesakit sudah dipindahkan ke Hospital Aga Khan di Mombasa, bandar kedua terbesar negara Afrika Timur.

“Kebakaran dilaporkan bermula pada jam 8:30 malam waktu tempatan,” katanya.

Rakaman kejadian kebakaran yang disiarkan stesen televisyen tempatan pula menunjukkan api marak dan asap tebal dari lokasi hospital itu.

Hospital yang dibina penjajah British pada 1890, mempunyai 125 katil. – AFP