100% populasi dewasa di Labuan lengkap terima vaksin

LABUAN, 8 SEPT – Sebanyak 100 pe-ratus populasi dewasa di Labuan telah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 pada Selasa (7 September), menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, Rithuan Ismail.

Beliau berkata populasi dewasa dalam kalangan imigran di pulau ini juga telah divaksin sekali gus merekodkan 100.5 peratus dewasa yang sudah diimunisasi.

Rithuan yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Labuan berkata pasukan itu telah menyenaraikan 68,500 dewasa yang layak untuk program imunisasi di Labuan.

“Bilangan dewasa yang layak diberi vaksin telah melebihi sasaran berikutan dasar CITF Labuan yang memberi suntikan vaksin kepada semua tanpa mengira kewarganegaraan.

“Kami juga menawarkan vaksin kepada pekerja (dari luar Labuan) dalam sektor perkapalan serta minyak dan gas Labuan,” katanya. – Bernama