Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    100 Syarikat sertai interaksi perdagangan India, Brunei

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Lebih 100 buah syarikat dari Negara Brunei Darussalam dan India yang mewakili pelbagai sektor perniagaan menyertai sesi interaksi bertajuk ‘Peluang Perdagangan dan Pelaburan di antara India dan Brunei Darussalam’ secara maya yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei (MOFE) secara maya, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam, di sini, sesi interaksi maya itu disertai oleh Federation of Indian Export Organisations (FIEO) dan Darussalam Enterprise (DARe) serta juga dewan-dewan perniagaan dan entiti perniagaan tempatan.

    Dalam ucapannya, Kuasa Usaha, Suruhanjaya Tinggi India, Alok Verma, mengalu-alukan inisiatif FIEO yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala serta menyatakan bahawa terdapat potensi dan skop yang besar bagi kolaborasi dua hala dalam sektor-sektor yang dikenal pasti oleh FIEO dan MOFE seperti makanan dan pertanian, pembinaan, hiliran minyak dan gas, pembuatan, pelancongan serta teknologi infokomunikasi.

    Semua itu adalah selaras dengan visi pembangunan jangka panjang Brunei iaitu Wawasan 2035, ulasnya lagi.

    Beliau menambah sektor-sektor keutamaan yang turut menjadi perhatian adalah sektor tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik, penjagaan kesihatan dan sektor farmaseutikal di mana usaha mereka harus menjurus kepada memudahkan perkembangan perdagangan dua hala bagi manfaat bersama.

    Antara yang hadir semasa sesi interaksi terdiri daripada syarikat-syarikat Brunei Darussalam dan India yang diadakan secara maya. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam

    Di samping perkembangan dalam persekitaran kondusif perniagaan, Verma menggalakkan syarikat-syarikat India untuk melihat kepada Brunei sebagai destinasi pelaburan berpotensi untuk diterokai oleh mereka.

    Pada sesi itu, Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Javed Ahmad telah memberikan penerangan mengenai organisasi, tanggungjawab utama dan bagaimana DARe dapat membantu dalam memulakan perniagaan di Brunei.

    Beliau juga mengetengahkan bidang-bidang kolaborasi dan pelaburan yang berpotensi seperti hiliran minyak dan gas, marin, perkhidmatan perniagaan, sektor makanan, farmaseutikal dan kosmetik serta ICT.

    Sementara itu, Javed turut mengalu-alukan syarikat-syarikat India untuk mengembangkan perdagangan dan pelaburan mereka di Brunei bagi manfaat bersama.

    Naib Presiden FIEO, Khalid M Khan berkata acara itu menyediakan peluang yang berguna bagi para peserta untuk memahami struktur perdagangan dua hala dan peluang-peluang perniagaan yang terdapat dalam persekitaran ekonomi yang mantap serta amat menghargai sokongan yang diberikan oleh MOFE dan DARe dalam menjayakan sesi perjumpaan itu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...