100 terbunuh dalam serangan di Ethiopia

ADDIS ABABA, 24 DIS – Lebih 100 orang terbunuh dalam satu serangan bersenjata di barat Ethiopia, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Ethiopia (EHRC), kelmarin.

Menurut kenyataan EHRC, pertumpahan darah itu berlaku di perkampungan Bekoji, Metekel di wilayah barat Benishangul-Gumuz sekitar 10 malam waktu tempatan (1900 GMT), Selasa.

Serangan dilakukan lelaki bersenjata yang bertindak membakar dan melepaskan tembakan ketika penduduk sedang tidur, lapor Agensi Berita Xinhua.

Kejadian itu mendedahkan ‘perlindungan hak asasi manusia semakin merosot di rantau ini dan skala serangan semakin meningkat baru-baru ini,” kata suruhanjaya itu. – Bernama