1,000 penduduk serbu PPV baharu di Labuan

LABUAN, 18 JUN – Seramai 1,000 penduduk dari empat kampung di sini berpusu-pusu ke pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19 baharu di Dewan Mutiara Kolej Matrikulasi Labuan (LMC) yang mula beroperasi, hari ini.

Majoriti penduduk yang hadir terdiri daripada individu yang telah mendaftar melalui MySejahtera, namun belum menerima janji temu dan tersenarai untuk menerima vaksin secara jumpa terus (walk-in) yang diuruskan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Kampung terlibat dalam pusingan pertama pemberian vaksin hari ini ialah Kampung Pohon Batu, Manikar, Lubok Temiang dan Ganggarak.

“Hanya individu yang namanya disenaraikan oleh ketua kampung atau pengerusi jawatankuasa penduduk akan dibenarkan masuk ke PPV,” kata Pengerusi MPP Mohd Dzulfaizal Abd Manan kepada Bernama di PPV LMC, di sini.

Beliau berkata, vaksinasi secara jumpa terus bagi nama yang disenaraikan oleh MPP bermula dari 8 pagi hingga 3 petang, manakala bagi individu lain bermula dari 3 hingga 4 petang.

Pusingan kedua vaksinasi secara jumpa terus esok, melibatkan empat kampung lain iaitu Kampung Lajau, Bukit Kuda, Kerupang dan Pantai. – Bernama

Salah seorang penduduk divaksin di pusat pemvaksinan baharu dibuka, Dewan Mutiara di Kolej Matrikulasi Labuan. – Bernama