1,000 tentera dikerah ke Melbourne perangi pandemik

MELBOURNE, 25 JUN – Tentera Australia hari ini mengumumkan akan menghantar 1,000 tentera ke Melbourne bagi membantu usaha membendung pandemik COVID-19 berikutan kebimbangan terhadap kemunculan gelombang kedua.

Negeri Victoria menyaksikan peningkatan kes COVID-19, dengan hampir 150 kes sejak seminggu lalu, susulan kemunculan kluster baharu di Melbourne.

Walaupun jumlah berkenaan masih kecil dibandingkan perangkaan global, pandemik itu menggegarkan Australia, yang sebelum ini melonggarkan perintah berkurung apabila berjaya membendung penularan virus itu.

Menteri Pertahanan, Linda Reynolds, berkata 1,000 tentera akan dihantar pada kadar segera ke Victoria.

Sehingga 850 pegawai Pasukan Pertahanan Australia akan memantau penduduk yang baru pulang dari luar negara, dan kini menjalani perintah kuarantin manakala 200 lagi bertugas membekalkan sokongan logistik serta perubatan untuk kemudahan ujian COVID-19.

Pegawai tentera sudah mula mengawasi sempadan negeri yang ditutup kepada pelancong luar, selain membekalkan sokongan kepada perkhidmatan kecemasan dan kesihatan, termasuk di Victoria.

Penghantaran kontinjen tentera sebesar itu ke bandar utama Australia adalah tidak dijangka, khususnya ketika negara terbabit berdepan krisis COVID-19.

Ia meningkatkan kebimbangan orang ramai mengenai penularan virus di Melbourne, dengan pusat ujian pantas diwujudkan di kawasan ‘panas’ susulan tindakan pihak pasar raya mengehadkan pembelian, akibat kebimbangan mengenai pembelian panik. – AFP

Penduduk tempatan menyorong troli yang dipenuhi dengan pembelian tisu tandas dan produk kebersihan ketika meninggalkan sebuah pasar raya di Melbourne, kelmarin. Tentera Australia akan menghantar 1,000 tentera ke Melbourne bagi membantu usaha membendung pandemik berikutan kebimbangan terhadap kemunculan gelombang kedua. – AFP