GARDEZ, AFGHANISTAN, 22 JUN – Satu kejadian gempa bumi melanda Afghanistan yang meragut sekurang-kurangnya 1,000 jiwa dan mencederakan beratus-ratus yang lain, menurut pihak berkuasa hari ini, dan angka korban mungkin meningkat ketika pasukan penyelamat cuba untuk sampai ke kawasan pedalaman.
Gempa berukuran 5.9 magnitud menggegarkan bahagian timur Afghanistan, yang bersempadan dengan Pakistan, di mana penduduk kawasan itu tinggal dalam kemiskinan dan berdepan dengan bencana kemanusiaan yang semakin teruk sejak Taliban mengambil alih kuasa pada Ogos lalu.
“Angka mangsa yang terkorban akibat gempa bumi melebihi 1,000 orang,” menurut jurucakap kerajaan, Bilal Karimi kepada AFP.
“Banyak kediaman musnah dan penghuni terperangkap di dalamnya,” katanya.
Yaqub Manzor, ketua suku dari wilayah Paktika, berkata penduduk yang terselamat dipindahkan bagi membantu mereka yang terjejas.

“Pasar-pasar ditutup dan semua orang bergegas ke kawasan yang terjejas,” katanya kepada AFP melalui panggilan telefon.
Gambar-gambar dan klip video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan rumah-rumah teruk terjejas di kawasan pedalaman.
Afghanistan sering dilanda kejadian gempa – terutama di kawasan pergunungan Hindu Kush.
Pada 2015, lebih 380 orang terkorban di Pakistan dan Afghanistan apabila gempa bumi berukuran 7.5 magnitud melanda di seluruh negara-negara tersebut, dengan jumlah kematian lebih tinggi di Pakistan.
Kejadian gempa terkini berlaku ketika Afghanistan bergelut dengan bencana kemanusiaan, diburukkan lagi oleh pengambilalihan Taliban di negara itu.
Agensi-agensi bantuan dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata Afghanistan tahun ini memerlukan berbilion dolar untuk menangani krisis.
Agensi bantuan turut menekankan keperluan yang lebih besar bagi kesiapsiagaan bencana di Afghanistan, yang sangat terdedah kepada kejadian gempa, banjir dan tanah susur.- AFP