PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 28 Jun – Lebih dari 10,000 kanak-kanak terbunuh atau cacat teruk di tengah-tengah konflik bersenjata di seluruh dunia pada tahun lepas, sementara yang lain diperkosa, dipaksa untuk berkhidmat sebagai tentera atau terperangkap dalam serangan ke atas sekolah-sekolah dan hospital, menurut laporan PBB semalam.
Sejumlah lebih daripada 21,000 pencabulan hak asasi kanak-kanak dilaporkan pada tahun 2017, peningkatan mendadak lebih dari tahun sebelumnya, menurut laporan tahunan ‘Kanak-kanak dan Konflik Bersenjata’.
PBB menyalahkan pertempuran gabungan Arab Saudi yang disokong Amerika Syarikat di Yaman bagi sekurang-kurangnya lebih setengah daripada 1,300 kematian kanak-kanak atau kecederaan dilaporkan di negara miskin itu. Mereka adalah mangsa serangan udara dan darat oleh Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu ke atas kumpulan pemberontak Huthi yang menentang kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa.

Di antara yang maut menurut laporan itu adalah tentera kanak-kanak berumur 11 tahun dalam pertempuran perang saudara Yaman dan di negara lain, kata PBB.
“Titik tolaknya adalah, kanak-kanak tidak seharusnya dilayan seperti tidak penting, mereka layak menerima hak yang sama seperti setiap kanak-kanak lain untuk meneruskan kehidupan mereka dengan bermakna dan diberikan peluang bagi pemulihan,” kata Virgina Gamba, wakil khas PBB bagi kanak-kanak dan konflik bersenjata. – AP

































