10,000 tinggal sehelai sepinggang

DHAKA, 18 OGOS – Sekurang-kurangnya 10,000 orang kehilangan tempat tinggal setelah kebakaran besar melanda kawasan penduduk miskin di ibu kota Bangladesh dan memusnahkan beribu-ribu rumah setinggan, kata pegawai semalam.

Kebakaran yang berlaku di kejiranan Mirpur di Dhaka pada Jumaat itu memusnahkan kira-kira 2,000 rumah setinggan beratap zink, kata pegawai Ershad Hossain kepada AFP.

“Saya tidak dapat menyelamatkan satu benda pun. Saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan,” kata Abdul Hamid, 58, yang mengendalikan gerai teh di dalam kawasan itu memberitahu AFP sambil menangis.

Pihak berkuasa akhirnya berjaya mengawal kebakaran dan tiada seorang pun maut walaupun beberapa penduduk mengalami kecederaan ringan, kata anggota bomba.

Penduduk di kawasan yang kebanyakannya adalah pekerja kilang berpendapatan rendah, tidak berada di rumah mereka kerana meraikan Aidiladha bersama ahli keluarga mereka.

“Jika tidak, kerosakan mungkin lebih besar,” kata ketua polis tempatan, Golam Rabbani.

Sekitar 10,000 orang telah berlindung di kem-kem di sekolah berdekatan yang ditutup untuk cuti Hari Raya Aidiladha selama seminggu, menurut Hossain.

“Kami menyediakan mereka makanan, air, tandas mudah alih dan bekalan elektrik,” kata pegawai perbandaran Shafiul Azam kepada AFP sambil menambah bahawa pihak berkuasa cuba mencari penginapan tetap untuk mangsa. – AFP

Seorang warga Bangladesh cuba memadamkan kebakaran yang memusnahkan kawasan setinggan di Dhaka, kelmarin. – AFP