10,000 unit kit ART selamat tiba ke Brunei

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Sebanyak 10,000 unit kit ujian pantas antigen (ART), Siemens Healthineers Clinitest Rapid COVID-19 Antigen Sel-Test Kits, selamat tiba di Negara Brunei Darussalam dari Bangkok, Thailand melalui penerbangan BI 9518 pada 3 Disember lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hadir menerima sumbangan kit ART berkenaan di Pusat Kargo Udara Antarabangsa Brunei (BIACC), kelmarin ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dan menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Pemangku Charge d’Affaires, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam, Marc Porter.

Kenyataan menjelaskan bahawa Kedutaan AS telah menyelaraskan sumbangan daripada Siemens Healthineers sebagai respons kepada permintaan bantuan COVID-19 daripada Kementerian Kesihatan.

Sumbangan itu mencerminkan sokongan berterusan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menentang COVID-19.

Marc Porter dipetik menyatakan bahawa Kedutaan AS bangga kerana diberikan peluang untuk memudahkan sumbangan kit ART bagi membantu menangani penularan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam serta membantu menjaga keselamatan warga Brunei.

“Kami akan terus bekerja dengan kerajaan Brunei, rakan-rakan sektor swasta dan organisasi antarabangsa yang lain untuk mencapai perkembangan ke arah menamatkan pandemik ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan bagi Siemens Healthineers, Singapura dan Brunei, Siow Ai Li berkata bahawa Siemen Healthineers ingin menunjukkan semangat perpaduan dan sokongan kepada petugas-petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan yang bekerja tanpa jemu bagi negara sejak penularan pandemik itu. Sumbangan kit ujian itu, ulasnya lagi, merupakan komitmen mereka kepada negara untuk membantu mengekang penularan virus berkenaan.

Dengan sumbangan itu, tambah beliau, mereka ingin memainkan peranan dalam menyokong Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Kenyataan menyatakan bahawa orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148.

Haji Maswadi dan Marc Porter semasa penyerahan sumbangan 10,000 unit kit ujian ART yang berlangsung di BIACC, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan