100,000 dos vaksin TIBA

Oleh Sim Y.H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Sebanyak 100,000 dos vaksin Sinopharm yang disumbangkan oleh kerajaan Republik Rakyat China selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), malam ini.

Majlis penyerahan sumbangan telah diadakan di LTAB dan dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof selaku wakil kerajaan Negara Brunei Darussalam, dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong sebagai wakil pihak kerajaan Republik Rakyat China.

Turut hadir ialah para pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, dan Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam serta Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Bandar Seri Begawan.

Sejak 2020, Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China bekerjasama rapat dalam menangani penularan wabak COVID-19.

Negara Brunei Darussalam telah menghulurkan sumbangan kewangan kepada Republik Rakyat China dalam menangani impak pandemik berkenaan pada Mac 2020.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan ketika menerima sumbangan vaksin daripada kerajaan Republik Rakyat China yang disampaikan oleh PYT Yu Hong.
PYT Yu Hong menyampaikan sijil sumbangan kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan.

Sumbangan hari ini merupakan yang kedua diterima daripada Republik Rakyat China.

Sumbangan pertama sebanyak 52,000 dos vaksin Sinopharm telah diterima pada Februari
2021.

Tahun 2021 merupakan Ulang Tahun Penubuhan Hubungan Diplomatik kali ke-30 di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, yang mana adalah pencapaian yang bermakna di antara kedua-dua buah negara.

Sebagai rakan kerjasama strategik, Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China terus bekerjasama rapat dalam mengeratkan lagi hubungan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga, pertanian dan perikanan, kesalinghubungan, pelancongan, kesihatan, pertahanan dan pertukaran rakyat.

Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China juga terus bekerjasama rapat dalam isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.