100,000 pelancong terkandas dibawa pulang

WELLINGTON, NEW ZEALAND, 3 APRIL – Kira-kira 100,000 pelancong yang terkandas di New Zealand sejak negara itu mula mengenakan perintah berkurung minggu lalu mula kembali ke negara masing-masing hari ini.

Para pelancong sebelum ini berdepan dengan kesukaran untuk kembali ke negara masing-masing selepas dihalang daripada melakukan penerbangan domestik semasa perintah berkurung yang bertujuan bagi mengekang penularan COVID-19.

Larangan penerbangan domestik menghalang pelancong daripada sampai ke Lapangan Terbang Auckland untuk menaiki penerbangan antarabangsa. Tetapi Menteri Luar Negeri Winston Peters mengumumkan kelmarin bahawa pelancong boleh melakukan penerbangan antara negara selagi mana mereka boleh meninggalkan negara itu.

Beliau berkata penerbangan sewa yang dikendalikan oleh negara luar juga akan dibenarkan bersama penerbangan komersil biasa.

Pegawai berkata 37,000 pelancong telah mendaftar dengan pelbagai kedutaan mereka yang ingin pulang ke negara masing-masing, walaupun Peters berkata dalam satu temu bual dengan stesen radio RNZ bahawa bilangan sebenar yang ingin pulang adalah kira-kira 100,000.

Syarikat penerbangan New Zealand berkata beberapa penerbangan telah dikendalikan oleh beberapa negara seperti Jerman untuk membawa rakyatnya yang terkandas pulang dari Auckland menuju Frankfurt melalui Vancouver, Kanada. Kedutaan Jerman di Wellington minggu lalu berkata lebih daripada 12,000 telah mendaftar untuk program penghantarannya.

Pesuruhjaya Tinggi Britain Laura Clarke berkata 10,000 pelancong Britain telah mendaftar dengan pejabatnya untuk memohon penghantaran pulang. – AP