Oleh Arissa
LIMBANG, 7 Mei – Seramai 101 orang penghuni Rumah Panjang Sateng, Merasam Jalan Kubong yang terletak 38 kilometer dari bandar ini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka ranap dalam kebakaran yang berlaku tengah hari tadi.
Kejadian jam 10 pagi itu berlaku ketika penduduk rumah berkenaan sedang melakukan aktiviti gotong royong membersihkan kawasan rumah hingga jalan masuk ke rumah panjang berkenaan menyebabkan api memusnahkan 14 buah pintu di rumah panjang yang dibina dari kayu itu.
Ketua Balai Bomba Limbang Tawang Lingem berkata hasil siasatan awal mendapati api dikatakan bermula dari pintu rumah nombor dua yang kemudiannya merebak ke kawasan berhampiran.
Katanya terdapat sebilangan penduduk yang sempat menyelamatkan harta benda dan dokumen berharga dan terdapat juga penghuni yang tidak sempat berbuat demikian akibat api yang marak dengan pantas.
“Ketika kejadian kebanyakan penghuni rumah panjang sedang membersihkan kawasan rumah panjang dan kawasan jalan menuju ke rumah itu,” katanya kepada media hari ini.

Seramai 15 orang anggota membabitkan empat buah kenderaan bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 10 pagi.
Punca dan jumlah kerugian katanya masih dalam siasatan.
Dalam kejadian berasingan sebuah bilik tokong Cina di Kampung Bidang terbakar dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 5:42 pagi tadi.
Jelas Tawang seramai 11 orang anggota termasuk persatuan bomba sukarela membabitkan tiga buah kenderaan bomba bergegas ke lokasi kejadian yang jauhnya 38 kilometer dari balai.
Hasil siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari alat pendawa dingin yang terletak di dalam bilik berkenaan sambil menambah operasi memadam api daripada kebakaran itu berakhir pada 6:52 pagi.