101 sertai kempen derma darah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Dalam usaha untuk memberi bantuan dan sebagai khidmat bakti kepada masyarakat, seramai 101 orang berjaya untuk menderma darah dalam Kempen Menderma Darah bersempena Hari Penderma Darah Sedunia 2020 yang berlangsung di Pandu Lalu McDonald’s Lambak, kelmarin.

Kempen menderma darah tahunan itu dianjurkan oleh Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC) dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan McDonald’s Brunei di mana ia diadakan dalam dua sesi dengan sesi pertama diadakan pada 20 Jun di Pandu Lalu McDonald’s Jerudong dan sesi kedua lalu di Pandu Lalu McDonald’s Lambak.

Kempen menderma darah itu merupakan kali ke-8 dianjurkan oleh BGC dengan matlamat untuk menjana kesedaran dan menanam sikap bertanggungjawab dalam kalangan individu untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dengan menderma darah. Kempen itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif pelaburan sosial syarikat untuk menanamkan semangat peka, kasih dan bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat. Ia juga meneruskan lagi usaha pihak syarikat membantu Pusat Pendermaan Darah untuk menambahkan stok darah di pusat berkenaan menerusi kempen menderma darah tahunan.

Kempen itu mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan di mana seramai 101 orang telah berjaya menderma dalam kempen berkenaan.

Pada masa yang sama, dalam menyokong usaha kerajaan untuk mencegah penularan COVID-19, sistem tempahan telah dilaksanakan untuk memastikan tidak berlaku kesesakan dan hanya lima orang secara maksimum dapat dibenarkan untuk menderma darah bagi setiap 30 minit.

Kempen menderma darah kali ke-8 yang dianjurkan oleh Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC). – Gambar oleh Muiz Matdani