1,050 karton rokok dirampas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Sejumlah 1,050 karton rokok ditemui hasil daripada rondaan keanggotaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di kawasan tempat letak kereta Berambang, Kampung Menunggol kelmarin sekitar pukul 8:55 malam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), insiden tersebut terbongkar apabila anggota peronda bertugas menemukan sebuah kenderaan yang mencurigakan, tanpa ada sebarang nombor plat pendaftaran kenderaan.

Kenderaan tersebut kemudian diperiksa dan kelihatan dipenuhi dengan bungkusan kotak-kotak besar dipercayai barangan tegahan. PPDB segera dihubungi dan telah mengaktifkan keanggotaan Balai Polis Kampong Ayer untuk segera ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan. Kesemua barang tegahan dibawa oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi peralihan siasatan dan tindakan seterusnya.

PPDB bersama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa berusaha dan meningkatkan kekerapan rondaan dan pemeriksaan di kawasan kawalan sama ada sungai atau darat bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta jenayah rentas sempadan.

Sejumlah 1,050 karton rokok ditemui hasil daripada rondaan keanggotaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). – Gambar serahan PPDB