Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Seramai 106 orang pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) menerima Pingat Kerja Lama Polis (P.K.L.P) bagi tahun 2017 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-71.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian pingat ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al- Islam pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis, Jalan Tungku Gadong, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai dan anggota PDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, SM APO 6924 Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Haji Matahir dan diteruskan dengan penyampaian pingat kepada penerima.

Pengurniaan P.K.L.P kepada para penerima merupakan satu galakan serta suntikan semangat kepada para penerima dan juga satu pengiktirafan serta penghargaan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada para penjawat awam yang berkhidmat lebih 20 tahun.
Selain itu, penganugerahan pingat berkenaan adalah sebagai tanda penghargaan dan bukti kepada penerima atas jasa bakti mereka kepada raja, kerajaan dan tugasan di samping sebagai dorongan untuk meningkatkan lagi prestasi kerja serta pencapaian dalam menanai tanggungjawab yang diamanahkan.
Di samping mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, pengiktirafan itu juga dapat meningkatkan, menyuntik semangat dan memberikan motivasi kepada para penerima untuk terus mencurahkan bakti kepada kerajaan dan Negara.

































