106 kes baharu, lebih 1,000 kes aktif

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan 106 kes baharu jangkitan COVID-19 pada hari ini, membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 2,265 orang.

Terdapat dua kluster baharu telah dikesan yang membawa jumlah kluster aktif kepada 42 kluster.

Kluster-kluster baharu tersebut ialah Kluster 1888 yang mengandungi 11 kes dan Kluster 2085 yang mengandungi lapan kes.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Terdapat 42 tambahan kes-kes baharu kepada 13 kluster aktif yang sedia ada.

“Kes-kes dalam kluster-kluster aktif ini adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

“Sementara itu, 47 kes adalah masih dalam siasatan bagi mengenalpasti sumber jangkitan,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan. Pengesanan kontak bagi semua kes-kes baharu tersebut masih giat dijalankan. Semua kontak terdekat yang dikenalpasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa sebanyak 41 kes telah disahkan sembuh pada hari ini membawa kepada jumlah kes yang sembuh kepada sebanyak 578 kes. Ini bermakna pada ketika ini, terdapat 1,678 kes aktif di Negara Brunei Darussalam.

“Di kalangan kes-kes aktif tersebut, lima kes adalah dalam keadaan kritikal yang mana empat daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (ventilation) dan satu lagi kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO),” jelas beliau.

Sementara itu, 30 kes lain juga sedang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi. Dalam kenyataan itu juga, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa kes-kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan pusat-pusat pengasingan yang lain dibahagikan kepada lima kategori.

Kategori 1 adalah kes-kes yang tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan. Kategori 2 adalah kes-kes yang mempunyai tanda-tanda jangkitan tetapi tidak mempunyai jangkitan paru-paru atau pneumonia.

Kategori 3 adalah kes-kes yang mempunyai tanda-tanda jangkitan dan jangkitan paru-paru atau pneumonia. Kategori 4 adalah kes-kes yang mempunyai jangkitan paru-paru atau pneumonia dan memerlukan tambahan oksigen. Kes-kes ini biasanya memerlukan pemantauan rapi di Unit Rawatan Intensif. Manakala kategori 5 adalah kes-kes kritikal yang mana jangkitan COVID-19 telah menyebabkan masalah pada beberapa organ dalam badan.

“Kes-kes ini biasanya memerlukan bantuan-bantuan mesin pernafasan (ventilation) atau heart-lung machine (ECMO).”

Pada masa ini, terdapat 70.6 peratus kes dalam kategori 1, 17.7 peratus dalam kategori 2, 6 peratus dalam kategori 3, 5.1 peratus dalam kategori 4 dan 0.8 peratus dalam kategori 5,” kongsi Yang Berhormat Dato.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,212 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 217,168 ujian, tambahnya.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth. Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 juga boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148 atau e-mel kepada askhal@moh.gov.bn.