107 pegawai ABDB dinaikkan pangkat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), seramai 107 orang pegawai ABDB telah diperkenankan untuk dinaikkan pangkat.

Pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat berkenaan diraikan dalam majlis kenaikan pangkat yang diadakan di Mes Pegawai Berakas Garison, hari ini.

Hadir untuk menyempurnakan majlis kenaikan pangkat berkenaan ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih yang menghadiri majlis berkenaan.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih menyempurnakan kenaikan pangkat pegawai-pegawai ABDB yang diraikan di majlis berkenaan.

Di antara barisan para pegawai ABDB yang dinaikkan pangkat pada majlis yang berlangsung di Mes Pegawai, Berakas Garison.

Turut hadir ialah pemerintah-pemerintah angkatan tentera, komandan-komandan, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan dan ABDB serta ahli-ahli keluarga pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat.

Dalam majlis itu, seramai 12 orang pegawai ditetapkan ke pangkat Mejar/ Leftenan Komander Tetap, sembilan orang pegawai dinaikkan daripada pangkat Kapten ke Mejar Tetap, 10 orang pegawai dinaikkan daripada pangkat Kapten ke Pemangku Mejar, 27 orang pegawai ditetapkan ke pangkat Kapten/Leftenan Tetap (TLDB), 24 orang pegawai dinaikkan daripada pangkat Leftenan/Leftenan Madya ke pangkat Kapten/Leftenan Tetap (TLDB) dan 25 orang pegawai dinaikkan daripada pangkat Leftenan/Leftenan Madya ke pangkat Pemangku Kapten/Leftenan (TLDB).