Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Sebanyak 108 guni beras telah diagihkan kepada 54 buah keluarga yang berhak menerimanya di beberapa buah kawasan di Kampung Belimbing, kelmarin.
Hadir menyerahkan sumbangan tersebut ialah Ketua Kampung Belimbing, Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim; Pengerusi Persatuan Lotus Light Charity Negara Brunei Darussalam, Yeo Tiong Lok dan ahli jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Belimbing serta ahli persatuan berkenaan.
Para penerima yang dikenal pasti dalam projek ini merupakan mereka yang terdiri daripada golongan fakir miskin, mualaf, anak-anak yatim, ibu tunggal yang kurang pendapatan atau tidak bekerja di kampung berkenaan.
Sumbangan daripada Persatuan Lotus Light Charity Negara Brunei Darussalam itu merupakan projek tahunan persatuan berkenaan yang antara lain bertujuan untuk menanamkan rasa prihatin dan pemedulian kepada mereka yang memerlukan dalam sama-sama merasai kemeriahan bulan Ramadan dan Syawal yang akan menjelang nanti.
Terdahulu majlis penyerahan sumbangan tersebut yang berkonsepkan berkunjung ke rumah para penerima dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Awang Malek bin Abdullah.