108 maut lori tangki meletup

FREETOWN, 7 NOV – Seramai 108 orang maut manakala 92 lagi cedera akibat letupan lori tangki bahan api di pusat bandar Sierra Leone, Freetown, kata agensi pengurusan bencana negara Afrika Barat itu.

Menurut saksi, letupan itu berlaku apabila lori tangki bahan api bertembung dengan sebuah trak di stesen minyak, pada malam Jumaat lalu.

Api kemudian merebak, membakar orang di dalam kereta dan di jalan raya berhampiran.

Pekerja sukarelawan, Jusu Jacka Yorma yang berada di tempat kejadian, berkata majoriti mangsa adalah peniaga jalanan dan penunggang motosikal, kebanyakannya terperangkap ketika cuba mengambil bahan api yang bocor dari lori tangki, sebelum api menyala.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan dalam satu kenyataan berkata, seramai 108 terkorban setakat ini dan 92 mangsa terselamat kini dirawat di pelbagai hospital di Freetown.

Naib Presiden, Mohamed Juldeh Jalloh, yang melawat tempat kejadian berkata angka kematian seramai 98 orang selain menjelaskan semua yang cedera akan menerima rawatan percuma.

Seorang jururawat di hospital merawat mangsa memberitahu AFP, ramai wanita, lelaki dan kanak-kanak mengalami ‘kecederaan serius’.

Operasi menyelamat diteruskan di bawah pengawasan polis, semalam. – AFP

Orang ramai berkerumun melihat timbunan motosikal yang rentung selepas lori tangki meletup di Freetown pada 6 November 2021. – AFP