109 mangsa banjir kilat di Sipitang

SIPITANG, 16 Julai – Sebanyak 109 orang daripada 42 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Dewan Masyarakat Sipitang selepas empat buah kampung di daerah berkenaan dilanda banjir kilat awal pagi ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam kenyataan hari ini berkata daripada jumlah berkenaan, 102 orang daripada 38 keluarga adalah dari Kampung Mesapol Lama, lima orang daripada dua keluarga dari Kampung Kalamauh dan masing-masing seorang dari Kampung Lalang dan Kampung Tunggul Tinggi.

Menurut kenyataan itu, mangsa banjir berkenaan terdiri 28 lelaki dewasa, wanita dewasa (42), kanak-kanak lelaki (26) dan kanak-kanak perempuan (13). Sementara itu, keadaan cuaca di Sipitang dilaporkan masih mendung. – Bernama