Sunday, October 2, 2022
26 C
Brunei

11 hari kutip RM18 juta

-

Filem bergenre komedi aksi, Abang Long Fadil 3 arahan Syafiq Yusof berjaya mengutip RM18 juta dalam tempoh 11 hari tayangan di pawagam.

Filem terbitan Skop Productions dan Astro Shaw itu menampilkan pelawak popular, Zizan Razak dan Johan Raja Lawak sebagai teraju utama.

Penerbit, Datuk Yusof Haslam meluahkan kesyukuran atas kutipan memberangsangkan francais ketiga Abang Long Fadil 3 itu.

“Alhamdulillah atas sambutan memberangsangkan ini. Menerusi platform sosial media dan tinjauan menerusi siri jelajah diadakan, kami mendapati rata-rata penonton yang memberi sokongan daripada golongan sudah berkeluarga.

“Saya bersama rakan penerbit, Astro Shaw mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang sudah menonton filem arahan Syafiq ini,” katanya.

Abang Fadil 3 arahan Syafiq berjaya mengutip RM18 juta dalam tempoh 11 hari tayangan pawagam. – Agensi

Abang Long Fadil 3 berkisar gelagat Fadil lakonan Zizan Razak sebagai ejen perisik Perkhidmatan Rahsia Negara (NSS) yang cuba menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han (Johan).

Dalam misinya itu, Fadil diburu King Cobra (Datuk AC Mizal) atas dendam kesumat.

Filem hasil idea asal Syafiq Yusof itu berjaya meraih kutipan RM3 juta pada hari pertama tayangan di 159 pawagam di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Terdahulu, sekuel kedua francais ini mencatat sejarah sebagai filem tempatan pertama meraih kutipan pecah panggung lebih RM18 juta ketika ditayangkan pada 2017.

Apa yang unik, menerusi tiga sekuel Abang Long Fadil, penonton dapat melihat transisi tema berbeza iaitu daripada dunia gangster, mafia dan perisikan.

Penggambaran Abang Long Fadil 3 dijalankan 2019 mengambil masa 77 hari di sekitar Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Klang.

Selain Zizan dan Johan, filem Abang Long Fadil 3 turut menampilkan Maya Karin, Elizabeth Tan, Shuib Sepahtu dan Ozlyn Wati.

Turut beraksi dalam filem menelan belanja RM6 juta itu termasuklah Tania Hudson, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman, Hairul Azreen dan Siraj Alsagoff. – Agensi

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

19 terbunuh, 28 cedera dalam kejadian letupan bom

ISLAMABAD, 30 SEPT – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam satu kejadian pengeboman nekad di sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan,...
- Advertisment -