11 kanak-kanak maut nahas jalan raya

MANILA, 19 JULAI – Seramai 11 kanak-kanak sekolah rendah berusia antara 10 dan 12 tahun terbunuh apabila trak yang mereka naiki terhumban ke dalam gaung dalam satu kejadian di Cebu, tengah Filipina Jumaat pagi, lapor agensi berita Xinhua memetik Cebu Daily.

Media tempatan melaporkan ketika kejadian mangsa menaiki trak mini sampah untuk menghadiri satu majlis di bandar Boljoon. Nahas berlaku kira-kira 7 pagi. Pegawai Penerangan Boljoon Ruben Nieri yang mengesahkan kejadian itu berkata sekurang-kurangnya 20 lagi mangsa dikejarkan ke hospital.

Difahamkan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. – Bernama

Mayat seorang mangsa kemalangan jalan raya dibawa turun di bandar Boljoon, wilayah Cebu, tengah Filipina pada 19 Julai. – AP