11 keluarga terima Mahabbah Syawal KUPU SB, TAIB

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Ilmu Teras dengan kerjasama Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) hari ini, telah mengadakan Mahabbah Syawal iaitu penyerahan sumbangan barang keperluan asasi kepada 11 buah keluarga.

Para penerima terdiri daripada pelajar KUPU SB, golongan anak yatim dan keluarga yang berpendapatan rendah.

Rombongan KUPU SB diketuai oleh guru agama terlatih Pusat Ilmu Teras, Haji Manan bin Haji Osman dengan disertai pensyarah dan kakitangan pusat berkenaan.

Sementara itu, hadir bagi mewakili Perbadanan TAIB ialah Timbalan Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar KUPU SB, Dayangku Zainab binti Pengiran Haji Tuah.

Mahabbah Syawal bertujuan untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan dan memberikan semangat khususnya dalam bulan Syawal tahun ini.

Ia juga merupakan salah satu inisiatif KUPU SB dalam usaha untuk memenuhi tanggungjawab sosial kolej universiti terhadap masyarakat dan negara melalui pemantapan penyampaian dakwah dan kerja sosial.

Haji Manan menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima. – Gambar oleh Rahwani Zahari