11 konsultan bersama jayakan Projek RKN 11

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Sebanyak 11 konsultan telah menandatangani perjanjian pelantikan konsultan bagi projek-projek (Projek RKN 11) di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan pagi hari ini di majlis penandatanganannya yang diadakan di Ibu Pejabat JKR, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Antara konsultan-konsultan tersebut ialah Peter Perunding Sdn Bhd bagi projek menaiktaraf Loji Rawatan Kumbahan Gadong Fasa 2, Pintu Malim dan stesen-stesen pengepam pembentungan; Bolton Hennessey Sdn Bhd bagi projek pembinaan jejambat di Lebuh raya Muara-Tutong dan Persimpangan Perumahan Kampung Lugu; Othman & Associates Consulting Engineers bagi projek menaiktaraf Loji Rawatan Agis-Agis, Daerah Belait dan projek mengganti dan memindah paip-paip utama yang lama bagi semua daerah – Paip Utama Jalan Ban, Jalan Tutong, Daerah Brunei dan Muara.

Selain itu, konsultan yang lain juga termasuk jurutera tempatan bagi projek mengganti dan memindah paip-paip utama yang lama bagi semua daerah – Paip Utama (inlet) ke Tangki Melabau, Daerah Brunei dan Muara; Arkitek Haza bagi projek Pelan Induk Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); Sepakat Setia Perunding (B) Sdn Bhd bagi projek Pelan Induk Akademi Pasukan Polis; Arkitek Urusrek, Adwan and Associates, Sepakat Setia Perunding (B) Sdn Bhd, dan Hanafi Konsaltan bagi projek-projek UTB Phase 4 – School of Applied Sciences and Mathematics.

Penandatanganan persetujuan pelantikan konsultan telah ditandatangani oleh Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) Kementerian Pembangunan dan wakil konsultan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin POKAP DSS Haji Zakaria.

Kesemua penandatanganan berkenaan disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Majlis berkenaan diakhiri dengan sesi penyerahan dokumen pelantikan konsultan.

Turut hadir di majlis menandatangani perjanjian tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan, Dr Nor lmtihan binti Haji Abdul Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang) Kementerian Pembangunan, Sr. Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir Lim Sui Kau Alice, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan di bawah JKR, Kementerian Pembangunan.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan menyampaikan dokumen perjanjian kepada salah seorang konsultan yang dilantik.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan bergambar ramai dengan konsultan-konsultan yang dilantik di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Lapangan Terbang Lama, Berakas.