Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    11 mati lemas dihanyutkan ombak besar di Jawa Timur

    JAKARTA, 13 FEB – Seramai 11 orang maut selepas dihanyutkan ombak besar ke laut dari pantai selatan wilayah Jawa Timur Indonesia hari ini, lapor agensi berita Xinhua memetik seorang pegawai pengurusan bencana tempatan.

    Kemalangan berlaku kira-kira 12:25 pagi waktu tempatan, hari ini, ketika 23 individu sedang melakukan upacara adat di pantai Payangan di daerah Jember, kata Ketua Unit Operasi Badan Pengurusan dan Mitigasi Bencana Jawa Timur Budi Santosa.

    “Tiba-tiba, ombak besar datang dan menghanyutkan mereka ke laut. Kejadian berlaku di pantai selatan pulau Jawa, dan ombaknya sangat besar. Mereka sebelumnya telah dilarang melakukan aktiviti sedemikian,” katanya kepada Xinhua melalui telefon.

    Dua belas yang lain terselamat daripada kejadian itu, tambahnya.

    Menurut ketua polis tempatan, Hery Purnomo, ia masih belum jelas jenis adat apa yang dilakukan oleh kumpulan berkenaan di wilayah yang didominasi oleh penduduk Muslim, tetapi ia dipimpin oleh pengajar spiritual yang terselamat dan akan disoal siasat.

    Media tempatan melaporkan bahawa sebilangan mangsa, yang datang dari bandar berhampiran, mempunyai kaitan keluarga. Komander tentera serantau, Batara Pangaribuan memberitahu TVOne pantai itu kebiasaannya dikawal dan ditutup pada waktu malam tetapi kumpulan itu bagaimanapun berjaya mencari jalan untuk memasukinya.

    Pegawai telah memberi amaran kepada pengunjung agar tidak berenang atau terlalu dekat dengan kawasan perairan kerana laporan ombak besar yang diterima baru-baru ini.

    “Pantai itu semakin sunyi sejak kebelakangan ini kerana pandemik dan pengunjung hanya akan duduk di tepi pantai dan tidak berenang kerana ombak besar,” kata Pangribuan. – Bernama/AFP

    Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia membawa mayat yang ditemui semasa operasi mencari berikutan kemalangan adat di pantai yang berlaku di Jawa Timur, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...