QUITO, 1 FEB – Sekurang-kurangnya 11 terbunuh dan 32 cedera kelmarin selepas banjir paling teruk melanda Ecuador dalam hampir dua dekad telah mengakibatkan tanah runtuh di ibu negara Quito, kata pihak berkuasa.
Arus yang membawa batu dan lumpur hanyut di jalan-jalan di bandar Ecuador, menghanyutkan kereta dan membanjiri rumah serta jalan, menurut imej yang dikeluarkan oleh perkhidmatan kecemasan.
Hujan lebat menyebabkan struktur pengumpulan air melimpah, mengakibatkan aliran berbahaya menuruni lereng bukit berhampiran padang sukan tempat beberapa orang berlatih, kata pihak berkuasa pada sidang media maya.
Datuk Bandar Quito, Santiago Guarderas pada mulanya berkata “seramai 11 orang maut, 15 kecederaan dan kami mencatatkan lapan struktur bangunan runtuh.”
Tetapi pihak berkuasa perbandaran kemudian menyemak semula angka itu kepada 32 kecederaan dan menambah keluarga yang terjejas telah ditempatkan di pusat perlindungan tempatan.
Banjir tersebut bermula di lereng gunung berapi Pichincha, yang menghadap ke ibu negara.
Guarderas berkata hujan lebat yang melanda kelmarin dicatatkan 75 liter setiap meter persegi diikuti 3.5 liter pada Sabtu lalu, dengan ramalan cuaca menjangkakan dua liter setiap meter persegi.
Ini adalah “angka rekod, yang kami tidak pernah miliki sejak 2003”, tambahnya. – AFP