KABUL, 29 Jan – Sebelas orang terbunuh manakala 16 orang lagi cedera selepas sekumpulan pemberontak menyerang sekumpulan tentera Afghanistan yang mengawal akademi tentera di ibu negara Kabul hari ini, menurut pegawai setempat.
Dua penyerang nekad telah meletupkan dirinya berdekatan sekumpulan askar yang bertanggungjawab mengawal keselamatan di akademi berkenaan, serangan itu kemudiannya diikuti dengan serangan tembakan yang menyebabkan dua askar maut, menurut jurucakap kementerian pertahanan Afghan, Dawlat Waziri.
Menurutnya, kira-kira 10 askar yang lain telah mengalami kecederaan setelah diserang oleh lima orang pemberontak, dua daripada mereka telah terbunuh dan seorang lagi telah berjaya ditangkap oleh askar.
“Serangan itu adalah sebagai penentangan terhadap askar yang mengawal keselamatan akademi dan bukan dari akademi itu sendiri,” Pihak askar sedang menyiasat bagi sebarang kemungkinan adanya penyerang yang lain, katanya lagi.
Menurut saksi kejadian, serangan berlaku sekitar jam 4 subuh dan berterusan hingga ke pagi.

Pemerintah Garison Tentera, Afzal Aman mengesahkan kumpulan askar itu telah diserang dengan menggunakan bom tangan berdekatan akademi Marshal Fahim. Seorang penduduk berdekatan, Hasmat Faqeri memberitahu The Associated Press yang dia terdengar bunyi letupan dan serangan tembakan.
Kumpulan IS telah mengaku bertanggungjawab bagi serangan berkenaan, yang mana sejak kebelakangan ini kumpulan itu bersama kumpulan pemberontak Taliban telah meningkatkan serangan mereka dengan menyasarkan pasukan keselamatan Afghan terutama sekali di Kabul.
Seorang penyerang telah memandu sebuah ambulans yang dipercayai membawa bahan letupan ke pusat bandar Sabtu lalu, membunuh kira-kira 103 orang dan mencederakan 235 yang lain. Menteri Dalam Negeri, Ahmad Barmak semalam berkata, serangan berkenaan telah melibatkan sebuah ambulans lagi yang ditinggalkan di kawasan berkenaan yang dipercayai ditinggalkan oleh beberapa orang penyerang yang telah melarikan diri. – AP