11 maut akibat monsun

DHAKA, 12 Jun – Runtuhan tanah yang dicetuskan oleh hujan monsun membunuh sekurang-kurangnya 11 orang hari ini di Bangladesh berhampiran kem yang menempatkan satu juta pelarian Rohingya, kata pegawai.

Agensi bantuan telah mengingatkan tentang krisis kemanusiaan pada bulan-bulan akan datang ini tatkala hujan lebat melanda satu kawasan yang menjadi tempat tinggal kepada kem pelarian terbesar di dunia.

Kebanyakan mangsa hari ini ditimbus di dalam lumpur apabila bukit berhampiran runtuh selepas satu banjir.

‘Sepuluh orang mati di Naniarchar’ termasuk sebuah keluarga yang terdiri daripada empat orang ahli, sementara beberapa orang masih lagi hilang, beritahu pentadbir daerah Mamunur Rashid kepada AFP. Seorang lagi terbunuh di Daerah Cox’s Bazar, kata polis.

Runtuhan tanah setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 12 orang pada minggu ini, selepas seorang budak lelaki Rohingya dihimpit sehingga mati oleh tembok lumpur yang runtuh di kem pelarian Kutupalong semalam.

Kira-kira 200,000 Rohingya yang tinggal di bukit sekitar kem pelarian menghadapi risiko maut atau kecederaan akibat hujan monsun, kata pegawai dan agensi bantuan.

Kebanyakan pokok-pokok di bukit di sekitar petempatan tersebut telah ditebang untuk membina tempat perlindungan, menjadikan tanah di sana tidak stabil.

Hampir 29,000 orang telah dipindah ke lokasi baharu sebelum monsun terjadi tetapi risiko berlakunya tragedi tanah runtuh masih tinggi.

“Perpindahan sedang diteruskan. Namun masalah yang timbul adalah di mana mencari tapak untuk memindah pelarian tersebut. – AFP