NEW DELHI, 13 SEPT – Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 12 yang lain cedera hari ini selepas sebuah treler merempuh sebuah bas di negeri Rajasthan di utara India, kata polis.
Kemalangan itu berlaku di lebuh raya Jaipur-Agra berhampiran Hantra di daerah Bharatpur, kira-kira 160km ke timur Jaipur, ibu kota Rajasthan.
“Hari ini kira-kira jam 4:30 pagi (waktu tempatan), sebuah bas telah berhenti di jejambat Antra berikutan kerosakan. Sebuah treler merempuhnya dari belakang, membunuh 11 orang dan mencederakan 12 yang lain,” kata seorang pegawai kanan polis. “Mangsa terdiri daripada lima lelaki dan enam wanita.”
Menurut polis, mangsa yang cedera telah dimasukkan ke hospital berhampiran.
Bas malang berkenaan sedang membawa rombongan dalam perjalanan dari Gujerat ke Uttar Pradesh ketika kemalangan itu berlaku.
Polis telah mendaftarkan satu kes dan mengarahkan siasatan ke atas kemalangan itu. – Xinhua
