11 maut dalam pembunuhan beramai-ramai di Colombia

BOGOTA, 8 SEPT – Sekurang-kurangnya 11 orang maut dalam tiga pembunuhan kumpulan berasingan di Colombia, menurut pihak polis kelmarin, salah satu kejadian berdarah sejak gerila FARC menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada 2016.

Pembunuhan tersebut – pembunuhan tiga atau lebih orang dalam satu kejadian yang sama – berlaku dalam tempoh tiga hari terakhir di rantau Antioquia di bahagian barat laut, Bolivar di bahagian utara dan Cesar di bahagian timur laut negara tersebut.

Dalam pembunuhan di Antioquia kelmarin, lima orang telah dibunuh oleh ‘anggota disyaki dari kumpulan bersenjata’ di bandar Zaragoza, Colonel Ever Gomez, ketua polis rantau tersebut memberitahu wartawan.

Tiga orang lelaki maut dalam serangan di kawasan Simiti kelmarin, di bandar rantau Bolivar. Mangsa masih belum dikenal pasti, menurut jurucakap pihak polis memberitahu AFP.

Pihak polis turut melaporkan satu serangan terjadi di bandar Aguachica, di rantau Cesar. Sepasang suami isteri telah terbunuh dan mangsa ketiga meninggal dunia selepas mengalami kecederaan dalam insiden yang sama.

Para pakar memberi amaran bahawa Colombia akan menjalani kitaran baharu keganasan akibat pembunuhan beramai-ramai ketika negara tersebut berharap untuk menghentikan keganasan terburuk pada masa lalu, apabila gerila berhaluan kiri FARC bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata pada 2016 selepas konflik selama berdekad. Antara 1 Januari hingga 17 Ogos, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu merekodkan 33 pembunuhan kumpulan serupa di rantau yang berbeza di negara itu, berbanding 36 kejadian pada 2019. – AFP